Wednesday, August 24, 2011

Abdul Rahman Auf kini di malaysia...


Hamba Allah A

A adalah seorang anak Kelantan yang merupakan seorang ahli perniagaan, A yang tidak mahu dikenali telah mengeluarkan zakat berjumlah RM 1 juta ringgit melalui Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

Hamba Allah B

Menginsafi akan tugas dan tanggung-jawab membantu saudara seaqidahnya yang ditindas di Palestin, B telah menyumbang sebanyak RM 300,000.00 kepada badan amal yang telah diamanahkan bagi menyampaikan sumbangan ini ke Gaza.

Hamba Allah C

C adalah seorang anak tempatan di Negeri Sembilan. Beliau telah mewakafkan hartanya yang berjumlah RM 10.2 juta melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi membina sebuah masjid yang bakal didirikan di bandar Seremban 2 di Negeri sembilan.

Abdul Rahman Bin Auf di Malaysia?

Subhanallah. Maha Suci Allah yang telah menjadikan alam dan segala isinya. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya merasa amat gembira apabila mendengar kisah-kisah hebat seumpama ini yang sebenarnya masih berlaku di kalangan masyarakat kita di Malaysia. Ianya memperingatkan kita kepada tokoh awal yang menjadi perintis kepada penyumbang-penyumbang hebat yang pernah dirakamkan di dalam sejarah Islam yang berwarna-warni ini.

Adakah anda masih ingat kisah ini?


Pada suatu hari kota Madinah yang aman dan tenteram dikejutkan dengan debu tebal yang mengepul ke udara. Debu-debu yang kelihatan datang dari tempat tinggi di pinggir kota itu bergumpal-gumpal meninggi ke udara sehingga hampir menutup ufuk pandangan mata. Angin yang bertiup menyebabkan gumpalan debu kuning dari butiran sahara yang lunak dibawa menghampiri pintu-pintu kota dan berhembus dengan kuatnya di jalan-jalan rayanya.

Orang ramai menyangka bahawa ada angin ribut yang menyapu dan menerbangkan pasir tetapi kemudiannya mereka terdengar suara hiruk pikuk dari sebalik tirai debu itu yang mengesahkan tentang kedatangan kafilah dagang yang besar lagi panjang.


Tidak lama kemudian, sampailah kira-kira 700 kenderaan yang sarat dengan muatannya memenuhi jalan-jalan kota Madinah dan menyibukkan lalu-lintasnyanya. Orang ramai saling berteriak dan menghimbau menyaksikan keramaian ini serta turut bergembira dan bersukacita dengan datangnya harta perniagaan dan rezeki yang dibawa oleh kafilah itu.

Ummul Mukminin Aisyah r.ha bertanya setelah demi mendengar suara hiruk pikuk itu, “Apakah yang telah terjadi di kota Madinah?” Dia diberitahu bahawa kafilah Abdul Rahman bin ‘Auf baru balik dari Syam membawa barang-barang dagangannya. Kata Ummul Mukminin lagi, “Kafilah yang telah menyebabkan semua kesibukan ini?” “Benar, ya Ummal Mukminin, kerana ada 700 kenderaan!” Ummul Mukminin menggeleng-gelengkan kepalanya sambil melayangkan pandangan yang jauh menembus, seolah-olah hendak mengingat-ingat kejadian yang pernah dilihat atau ucapan yang pernah didengarnya.

Kemudian katanya lagi, “Ingat, aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda, ‘Kulihat Abdul Rahman bin ‘Auf akan masuk syurga dengan perlahan-lahan!’”

Abdul Rahman bin ‘Auf masuk syurga dengan perlahan-lahan? Kenapa dia tidak memasukinya dengan berlari pantas bersama angkatan pertama para sahabat? Sebahagian sahabat menyampaikan cerita Aisyah kepadanya, maka dia pun teringat kepada sabdaan yang didengari dari Nabi saw sendiri. Hadihs ini telah diriwayatkan lebih dari sekali dan dengan susunan kata yang berbeza-beza.

Sebelum tali-temali kenderaan perniagaannya dilepaskannya, beliau segera melangkah ke rumah Aisyah lalu berkata kepadanya, “Anda telah mengingatkanku suatu hadith yang tak pernah aku lupakannya.” Kemudian tambahnya lagi, “Dengan ini aku mengharap dengan sangat agar anda menjadi saksi, bahawa kafilah ini dengan semua muatannya berikut kenderaan dan perlengkapannya, aku serahkan semuanya ke jalan Allah swt!” Maka dibahagi-bahagikan seluruh muatan 700 kenderaan itu kepada perjuangan di jalan Allah dan kepada penduduk.


Satu peristiwa ini saja, memaparkan gambaran yang amat hebat tentang kehidupan sahabat Rasulullah yang bernama Abdul Rahman bin ‘Auf. Dialah ahli perniagaan yang sangat berjaya. Dialah juga seorang mukmin yang bijaksana kerana tidak mahu harta benda kekayaannya meninggalkannya dari kafilah iman dan pahala syurga. Maka dia adalah seorang ahli perniagaan yang berjiwa pejuang yang memberikan harta kekayaannya dengan pemberian yang tidak terkira, dengan hati yang puas dan rela.

Apa lagi contoh kehebatan Abdul Rahman Bin Auf?

  1. Beliau adalah salah seorang daripada 8 orang yang mula-mula sekali memeluk Islam.
  2. Ketika berhijrah ke Madinah di dalam keadaan sehelai sepinggang, beliau telah ditawarkan oleh Sa’ad bin Rabi’ (jutawan di Madinah) untuk memiliki separuh daripada hartanya dan boleh memilih salah seorang daripada 2 isterinya yang lebih cantik namun beliau telah menolak dengan jawapan,‘Moga-moga Allah memberkati anda, isteri dan harta anda! Tunjukkanlah saja letaknya pasar agar aku dapat berniaga!’ Abdul Rahman pergi ke pasar dan berjualbeli di sana sehingga memperolehi keuntungan yang besar.
  3. Beliau adalah seorang pemimpin yang mengendalikan hartanya dan bukan seorang hamba kepada hartanya. Dia tidak mahu mengumpul dan menyimpannya tetapi menikmatinya bersama keluarga dan kaum kerabatnya serta saudara-saudaranya dan masyarakat seluruhnya sehingga pernah dikatakan, “Seluruh penduduk Madinah ada hubungan dengan Abdul Rahman bin ‘Auf pada hartanya. Sepertiga dipinjamkannya kepada mereka. Sepertiga lagi dipergunakannya untuk membayar hutang-hutang mereka dan sepertiga bakinya diberikan dan dibahagi-bahagikannya kepada mereka.
  4. Beliau pernah dicalonkan sebagai salah seorang daripada 6 calon khalifah yang akan menggantikan Omar al Khattab tetapi beliau telah menolaknya dengan penuh ketegasan.
  5. Dia merupakan salah seorang daripada 10 orang yang telah diberi khabar sebagai ahli syurga oleh Rasulullah saw

Kita bersaksi dengan kehebatan ini


Sudah menjadi kebiasaan kepada manusia bahawa harta kekayaan akan seiring dengan salah guna kekuasaan. orang-orang kaya selalu tamak untuk memiliki pengaruh bagi melindungi kekayaan mereka dan melipat gandakannya serta bersifat, sombong, memenuhi hawa-nafsu serta membanggakan sendiri.

Namun apabila kita melihat Abdul Rahman bin ‘Auf dengan kekayaannya yang melimpah ini, kita telah bertemu dengan manusia ajaib yang telah menguasai tabiat kemanusiaan yang hebat di dalam bidang ini sehingga melangkah ke puncak ketinggian yang unik.

Amat benarlah kata-kata Rasulullah saw yang pernah diucapkan Baginda, “Abdul Rahman bin ‘Auf dalam syurga!”

Begitu juga janji Allah dalam Quran yang bermaksud, “Orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah kemudian mereka tidak mengiringi apa yang telah mereka nafqahkan itu dengan membangkit-bangkit pemberiannnya dan tidak pula kata-kata yang menyakitkan, nescaya mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka; Mereka tidak akan merasa takut dan tidak pula berdukacita.” (Surah Al-Baqarah ayat 262)

Semoga akan lahir lebih ramai Abdul rahman Bin Auf di Malaysia dan di dunia Islam….

written by dr.Zainurrashid

Sunday, August 21, 2011

"EMAK MANA? "



Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?" Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak . Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.” Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

Wednesday, August 17, 2011

ramadhan antara adat dan syariat

Bulan Ramadan yang penuh keberkatan telahpun secara rasmi memasuki fasa separuh keduanya.

Kalau dalam perlawanan bola sepak, separuh masa kedua adalah kesempatan terbaik bagi memperbaiki kelemahan semasa separuh masa pertama.

Jika gawang dibolosi beberapa kali semasa separuh masa pertama, maka kesempatan di separuh masa kedua perlu digunakan semaksima mungkin untuk memperbaiki kelemahan, memperbetulkan strategi dan mempertajamkan jentera serangan dengan harapan dapat beroleh kemengangan di akhir perlawanan.

Jika menang akan diberi mata kemenangan, jika tewas hanya penat dan lelah yang diperolehi tanpa sebarang mata. Begitulah juga halnya dengan Ramadan yang telah kita harungi sehingga ke separuh kedua ini.

azlanAlhamdulillah, kebanyakan kita masih mengekalkan momentum ibadah sebagaimana di permulaan Ramadan.

Masjid dan surau masih lagi dapat bertahan dengan jumlah jemaah yang ramai ketika Solat Tarawih walaupun tidak seramai ketika di permulaan Ramadan. Namun, lagu-lagu raya yang semakin galak dikumandangkan akhir-akhir ini begitu mengganggu konsentrasi kita untuk beribadah.

Lagu-lagu raya yang begitu awal dimainkan ini seolah-olah tidak sabar-sabar ingin menerima kehadiran Aidil Fitri dan dalam masa yang sama kita tidak sedar ia juga seolah-olahnya menyuruh Ramadan 'berlalu secepat mungkin' agar dapat segera berhari raya.

Antara adat dan syariat

Begitulah suasananya Ramadan di tempat kita. Bila sampainya Ramadan, selain ibadah puasa, sahur dan tarawih, ia juga sinonim dengan bazar ramadan, murtabak, moreh dan sebagainya.

Ibadah puasa Ramadan juga begitu unik berbanding ibadah-ibadah lain. Ada orang yang solat berpuasa, orang yang tak bersolat juga berpuasa. Orang yang menutup aurat berpuasa, orang yang berpakaian seksi juga berpuasa.

NONEOrang tua berpuasa, anak-anak kecil juga berpuasa. Bahkan jika ditanya kepada mak nyah di lorong-lorong di kota besar Kuala Lumpur itupun, pasti mereka akan katakan mereka berpuasa.

Bila waktu malam, mereka akan memendekkan 'waktu operasi' mereka bagi memudahkan mereka bangun awal untuk bersahur dan berpuasa. Para artis pula mengambil kesempatan sempena Ramadan untuk 'berehat' dari aktiviti-aktiviti seni bagi menumpukan kepada ibadah dan aktiviti-aktiviti amal.

Begitulah ragamnya masyarakat kita menyambut Ramadan dengan cara tersendiri yang bersandarkan kepada kefahaman masing-masing terhadap falsafah di sebalik Ramadan.

Walauapapun cara kita menerima kehadiran Ramadan, suatu yang semua perlu faham ialah natijah dan tujuan berpuasa ialah untuk meraih taqwa. Jika sinar ketaqwaan itu tidak terzahir daripada tingkahlaku kita, maka ada suatu yang tidak kena dengan puasa yang kita lakukan.

Taqwa sebagai matlamat puasa


Perkataan taqwa, meskipun didengar saban waktu - sekurang-kurangnya empat kali seminggu iaitu ketika mendengar khutbah Jumaat - namun masih ramai yang tidak memahami akan maksud dan falsafahnya.

NONEBuktinya, tindak-tanduk umat Islam kadang-kala tidak menggambarkan mereka faham akan maksud taqwa tersebut. Lalu apakah maksud taqwa itu sebenarnya?

Imam Ali bin Abi Talib mendefinisikan taqwa sebagai 'meninggalkan perbuatan maksiat, dan tidak tergoda dengan rasa sudah baik mengerjakan ketaatan'. Beliau juga membahagikan ciri-ciri taqwa kepada empat iaitu; Al-Khauf minal Jalil (Takut kepada Allah yang Maha Agung), Al-Amal bit Tanzil (Beramal apa yang Allah turunkan dalam Al-Quran), Ar-Ridha bil Qalili (Rasa cukup dengan sedikit yang kita ada) dan Al-Ist'dad ila yaumirrahiil (bersedia menghadapi hari keberangkatan/kematian).

Imam Syafie pula berkata, kamu boleh lihat diri kamu berada di puncak ketakwaan apabila berlaku perkara berikut: Al-Juud minal Qalil (Kamu bersedekah walaupun duit yang kamu ada tinggal sedikit), Al-War'u 'Indal Khalwah (Kamu bersikap wara' ketika kamu berseorangan) dan An-Takuna kalimata Haqqin Inda Ma Yukhafu wa Yurja' (Kamu dapat katakan kebenaran di hadapan orang yang kamu takuti dan kamu harapkan sesuatu daripadanya).

Seterusnya Al-Hasan mendefinisikan taqwa sebagai 'menjaga diri daripada yang diharamkan dan menunaikan yang diwajibkan.' Ibn Kathir pula manyatakan taqwa berasal daripada perkataan tawaqqi, iaitu menjaga diri daripada perkara yang tidak diingini manakala Ibn Abbas menggambarkan orang yang bertaqwa ialah mereka yang takut dalam keadaan berwaspada daripada balasan Allah dengan meninggalkan dorongan nafsu, dan mengharapkan rahmat Allah dengan percaya terhadap perkara yang datang daripada-Nya.

Begitulah pandangan-pandangan ulama yang sedikit sebanyak dapat menjernihkan lagi kefahaman kita terhadap maksud taqwa. Jika taqwa difahami, maka kita pastinya faham arah tuju puasa yang kita laksanakan.

Jika puasa dan ibadah Ramadan yang kita laksanakan tidak berjaya membawa ciri-ciri taqwa ke dalam diri, maka pasti ada suatu yang tidak kena atau kecacatan dengan puasa yang kita laksanakan.

Pokok pangkalnya, setiap tingkahlaku yang dilakukan di atas mukabumi ini perlu berlandaskan 'ilmu'. Jika seorang penjenayah pun menggunakan ilmu dan berstrategi dalam melakukan jenayah mereka, apatah lagi apabila kita ingin melakukan ibadah kepada Allah, pasti ia perlu bersandarkan ilmu dan kefahaman yang jelas, bukan kerana ikut-ikutan.

azan islam call to prayerOrang solat, kita pun solat, orang puasa kita pun berpuasa. Bila ditanya falsafah puasa dan kenapa kita perlu berpuasa ada juga yang tidak tahu.

Islam agama ilmu


Sesungguhnya Islam adalah agama yang berdiri di atas prinsip 'ilmu dan 'kefahaman' yang jelas berteraskan dalil dan hujjah, bukan ikut-ikutan atau warisan nenek-moyang semata-mata.

Bahkan ayat pertama diturunkan di dalam Al-Quran ialah berkaitan ilmu iaitu ayat 'Bacalah' (Iqra') di dalam Surah Al-'Alaq. Sepanjang pengamatan saya, lantaran tiadanya ilmu dan asas yang jelas tentang syariat Islam, maka terjadilah perkara-perkara seperti ramainya umat Melayu Islam kita yang sukar membezakan perkara syariat dan adat.

Natijahnya, tindak tanduk kita kadangkala tidak mencerminkan syariat Islam, tetapi lebih kepada adat yang telah kita anggap seperti syariat, malah ada kalanya, jika salah i'tiqad, adat tersebut boleh menyimpang daripada prinsip syariat yang sebenar.

Contohnya ada yang anggap menanam uri selepas kelahiran itu adalah tuntutan 'syariat', tetapi sebenarnya ia hanyalah adat dan petua nenek moyang. Bahkan akan menjadi khurafat jika kita beri'tiqad ia boleh menjejaskan kesihatan anak-anak dan sebagainya. Itu belum diambil kira amalan khurafat dan mistik yang lain seperti pemujaan dan sebagainya yang sememangnya orang Melayu amat 'pakar' di dalamnya.

azlanSeterusnya, tanpa ilmu yang jelas tentang syariat juga akan menyebabkan kita mengambil sebahagian daripada Al-Quran dan meninggalkan sebahagian yang lainnya. Kita juga kadangkala akan lebih mengutamakan isu furu'(cabang) melebihi isu usul (pokok).

Senario yang berlaku hari ini mungkin boleh mengesahkan perkara ini. Contohnya; kita kisah tentang perlunya meletak atau menggantung ayat Al-Quran, gambar kaabah dan lain-lain di dinding rumah, tetapi kitatidak kisah jika ada penghuni-penghuni rumah dan anak-anak kita yang tidak menghadap qiblat (bersolat).

Perkara pokok di sini ialah solat, sementelah menggantung ayat Al-Quran adalah perkara cabang.

NONEKita marah/sensitif bila ada bukan Islam masuk/ziarah masjid/surau tetapi kita tak marah/tak sensitif bila ramai Muslim yang tak pernah datang masjid/tak bersolat.

Kita marah bila akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan artikel/gambar babi, tetapi kita tidak rasa apa-apa apabila ada akhbar berbahasa Melayu yang menyiarkan iklan keputusan judi-4D,Toto, Magnum dan sebagainya.

Selain mengharamkan babi, bukankah Al-Quran juga mengharamkan judi, atau kita hanya beriman dengan sebahagian Al-Quran dan meninggalkan yang selainnya?

Kita marah bila ada bukan Islam ingin mendekati Al-Quran, membaca dan memahami tafsirannya, tetapi kita tidak kisahpun bila ramai muslim yang bukan sahaja tidak faham, malah buta Al-Quran.

NONEApabila menyambut maulidurrasul, kita rasa bersalah atau seolah-olah berdosa jika perarakan tidak dapat dibuat atas masalah tertentu, tetapi kita tidak rasa bersalah bila banyak hadis dan sunnah Baginda yang tidak diamalkan malah diperlekehkan.

Bukan salah perarakan itu, tetapi memperingati Rasulullah itu perlu dilihat dari skop yang lebih besar.

Senario seterusnya, apabila ada pihak yang mengeluarkan arahan (dengan bersandarkan dalil dan nas yang rajih) agar tidak diperdengarkan bacaan al-Quran sebelum laungan azan khususnya di waktu subuh, maka ramai yang menjadi hero dan bangun membantah seolah-olah arahan itu anti-Islam, namun anehnya bilangan yang pergi ke masjid untuk solat subuh masih juga Ssedikit.

Boleh diperiksa di mana-mana masjid dan surau hanya ada beberapa saf sahaja ketika solat subuh. Di manakah hero-hero yang lantang berbicara tadi? Soalnya, jika arahan yang dikeluarkan bersandarkan nas dan dalil, kita yang membantah kerana ilmu atau apa sebenarnya?

Penutup

Nah, begitulah sedikit sebanyak senario ketidahfahaman masyarakat tentang syariat Islam menyebabkan kejahilan di dalam agama terus berterusan. Lebih membimbangkan jika tindakan orang yang jahil terhadap syariat Islam ini akan menjadi fitnah kepada agama suci ini manakala orang alim hanya menjadi 'penonton' apabila orang jahil itu memburukkan imej agama.

NONESesudahannya, wajah Islam yang comel dan cantik dipandang dengan jijik oleh masyarakat. Bukan salah Islam itu, tetapi salah umat Islam yang tidak memahami agama mereka. Amat menyedihkan juga apabila ada sesetengah pihak yang suka jika ramai yang jahil tentang agama kerana kejahilan itu akan mudah dimanipulasi untuk kepentingan tertentu.

Justeru, bagi mengelakkan diri kita daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak, ilmu-ilmu tentang syariat Islam perlu dipertingkatkan agar amal ibadah yang kita laksanakan adalah bersandarkan ilmu dan diterima Allah hendaknya.

Bukanlah maksudnya kita perlu meningkatkan ilmu Islam sehingga ke peringkat PhD, tetapi memadailah kita faham perkara-perkara asas di dalam Islam. Yang paling penting keberadaan kita di dalam Islam ini juga perlu bersandarkan ilmu dan kesedaran yang jelas bukan kerana faktor 'genetik' atau warisan keluarga.

NONERamadan yang berbaki separuh bulan haruslah dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi menampung kelompangan dan kekurangan di dalam amal ibadah kita. Mudah-mudahan amal ibadah kita yang berdasarkan ilmu dan kefahaman akan syariat akhirnya Insya Allah akan menghadirkan taqwa.

Kita juga mohon agar dijauhkan puasa kita daripada puasa adat berteraskan taqlid buta yang tidak akan memberikan apa-apa melainkan lapar dahaga.


nisar mohd ahmad

malaysiakini

Monday, August 15, 2011

aku mahu kamu mengerti...

aku mahu kamu terbang lebih tinggi dari awan...
agar kamu bisa bercerita pada anak anak mu betapa cantik nya matahari dan bulan

aku mahu kamu berdikari
agar kamu bisa berlari di kaki sendiri

aku mahu yang terbaik buatmu..
agar kebaikan yang terhasil tempias merata melata disekeliling mu

aku mahu kamu mengerti
tegasku bukan beerti marah..
lembut ku bukan beerti pasrah
tawa ku bukan beerti engkau lemah

aku hanya mahu yang terbaik dari mu
hadiah buat orang tua mu
orang yang membesarkan kamu
ummat ummat yang memerlukan kepakaranmu
juga Agama yang kamu perjuangkan

tunjukkan kesungguhanmu
perah segala keringatmu..
tanam cita cita mu..

berlarilah sekuat hati mu
terbang la setinggi mana langit yang kamu mahu

aku mahu kamu mengerti
aku insan biasa yang sering mendoakan mu...
agar kamu adalah apa yang kamu mimpikan

ilham al ams, al haqiqatul yaum..ilhamul yaum haqiqatul ghadan
(mimpi semalam adalah realiti hari ini, mimpi hari ini adalah hakikat hari esok)

maka bermimpi dan berlari lah...jangan pernah berhenti



Monday, August 8, 2011

hatinya tidak buta

Si Buta Yang Celik…

Abdullah Ibn Umm Maktum bukanlah seorang pembesar negara mahupun seorang ketua panglima perang tetapi sahabat yang buta ini adalah seorang yang begitu hampir dengan Rasullulah saw. Namanya terbaris sebagai salah seorang generasi al Quran yang unik kerana bumi Allah ini pernah dibasahi oleh ayat-ayat al Quran sebanyak dua kali kerananya.


Di antara kehebatannya yang tercatat di lembaran sejarah ialah apabila beliau telah dipilih oleh Rasulullah saw bersama Mus’ab Ibn Umair untuk meredahi padang pasir sebagai sahabat yang pertama berhijrah ke Madinah. Bayangkanlah bagaimana si buta ini boleh mengatur strategi hijrah yang begitu berisiko ini. Andai kata dia dan Mus’ab yang masih muda tersilap langkah, bukan sahaja nyawa mereka bakal melayang tetapi juga masa depan Islam di Madinah yang belum lagi menentu pada ketika itu.

Satu lagi kisah beliau yang cukup menarik yang berlaku di Madinah sebelum wafatnya Rasulullah saw ialah ketika beliau pernah meminta keringanan daripada Rasullulah saw untuk mengerjakan solat fardhu di rumah apabila beliau menjelang tua.


Ibn Umm Maktum berkata: Wahai Rasulullah, saya seorang yang buta dan rumahku pula jauh dari masjid. Penunjuk jalan saya tidak serasi dengan diri saya. Adakah keringanan untuk saya bersolat di rumah? Rasulullah saw bertanya: “Adakah engkau mendengar azan?” Jawabku: Ya. Rasulullah saw bersabda: “Kamu tidak mendapat keringanan.” [HR Abu Daud No. 552, “Sahih”].

Beliau sebenarnya mempunyai banyak sebab yang mendorongnya untuk bertanya kepada Rasulullah saw. Di antaranya ialah :

  1. Rumahnya jauh daripada masjid
  2. Dia telah tua pada ketika itu
  3. Badannya tidak kuat dan anggota badan semakin lemah
  4. Matanya buta (atau rabun yang amat sangat)
  5. Beliau terpaksa melalui ladang tamar
  6. Beliau terpaksa meredahi sarang labah-labah (terutamanya solat subuh)


Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan ini, beliau tetap terus istiqamah bersolat lima waktu sehari semalam secara berjamaah di atas arahan Rasulullah. Beliau ke masjid dengan panduan tali yang diikat oleh para sahabat yang lain daripada rumahnya ke pohon-pohon tamar di sepanjang perjalanan sehinggalah sampai ke masjid. Begitulah iltizamnya beliau dengan amalan-amalan Islam.


Setelah Rasulullah saw wafat, Abdullah Ibn Umm maktum terus tinggal di Madinah sehinggalah umat Islam bersiap-siaga untuk menyertai peperangan Qaadisiyah iaitu peperangan yang akan menentukan jatuh bangunnya empayar Islam bagi menamatkan kezaliman Byzantine. Jika para sahabat menang, maka akan jatuhlah empayar hebat yang digeruni ini dan akan tamatlah kezaliman mereka.

Beliau memohon kepada Umar al Khattab untuk pergi berjihad dengan katanya, “ Wahai Umar, tentera Islam memerlukan seseorang yang memegang janjinya. Berilah tanggung jawab itu kepadaku. Aku ini buta dan akan ku redahi semua yang di hadapanku. Engkau akan memerlukan orang yang tidak menjatuhkan atau membuat panji Islam tergelincir. Akulah orangnya. Aku akan mara ketika orang lain mengelak tikaman. Aku tidak mengelak tikaman dan englau memerlukan orang seperti aku…..”.

Umar memberikan keizinan ini setelah beliau berfikir panjang. Apa tidaknya, Abdullah Ibn Maktum telah terlebih awal memeluk Islam daripadanya. Malahan dia telah berhijrah ketika sahabat lain masih berlindung di Mekah dan dia telah mengIslamkan penduduk Madinah sebelum ketibaan Rasulullah saw. Bahlah juga kerana dua kali ayat Quran turun ke bumi kerananya.


Akhirnya cita-cita tertinggi Abdullah Ibn Umm Maktum tercapai apabila beliau menemui syahid di jalan Allah setelah berjuang bersama ribuan tentera yang dipimpin oleh Saad Ibn Abi Waqas.

Pengajarannya :

  1. Kekurangan diri dan ketiadaan jawatan tidak menghalang seseorang insan untuk menjadi pencinta dan pendokong perubahan yang besar.
  2. Perubahan dan kejayaan yang hebat tidak akan berlaku tanpa kesungguhan dan pengorbanan seseorang individu mahupun generasi seangkatannya.

Semoga kehebatan sahabat yang buta ini mampu kita warisi…

perkongsian ustaz dr.zainurrashid zain (international speaker for free palestine)

Saturday, August 6, 2011

coret coret ramadhan penuh hikmah Masjid pusat buat ummah

Alhamdulillah thumma hamdulillah, wassolatu wasssalam ala rasulillah amma ba'du...

Ramadhan kareem buat semua... moga ramadhan kali ini mendidik kita menjadi hamba hamba Nya yang bertaqwa..kesempatan kali ini penulis cuba untuk lebih santai dalam berkongsi pengalaman berpuasa pada tahun ini..

Alhamdulillah tahun ini berkesempatan menyambut ramadhan penuh barakah ini bersama keluarga dan rakan tetangga di kampung kelahiran iaitu kg selayang lama ataupun dikenali sebagai village in the city dikalangan sesetengah rakan rakan..

ramadhan kali ini juga terus mengajak penulis mengimbau kembali semangat ramadhan penulis ketika berumur sekitar 7 ke 12 an..ketika mana masjid adalah "pusat "ramadhan bagi penulis dan team sekampung.kenakalan kami sangat memeningkan ahli qariah masjid setiap kali ramadhan menjelma...

rutin ramadhan bermula seawal pagi seusai solat subuh berjamaah.. kebiasaan penulis akan mengelilingi kampung menaiki basikal bersama teman teman sehingga lah matahari naik segalah..aktiviti kumpulan kami diteruskan dengan pelbagai program di masjid seperti mandi kuak lentang di kolam wudhu' masjid, menyepahkan sejadah masjid dan sebagainya..slot kejar mengejar diantara ajk masjid dengan team kami adalah suatu rutin alah bisa tegar biasa bagi kami..sekali ditangkap diculas telinga dan dimarahi la jawabnya..

Namun itu bukanlah alasan buat kami saban tahun untuk terus "beristiqamah' memilih masjid sebagai pusat bagi segalanya..biarpun kenakalan sangat dikenali oleh ahli qariah namun kami jugalah kumpulan anak muda yang terkehadapan dalam memakmurkan program program yang dianjurkan masjid kerana masih ada sebahagian ahli qariah yang terus membela kami kerana melihat potensi yang ada pada kami suatu hari nnt..bak kata pepatah diam ubi diam berisi (ada kaitan ke)

Kini hampir 15 tahun telah berlalu, aku bersyukur pada mu ya Allah aku bersyukur masih berkesempatan menyambut ramadhan di kampung tercinta...melihat telatah nakal kanak kanak memenuhi masjid sepanjang ramadhan membuat aku tersenyum mengimbau kembali kenangan lamaku..pentadbiran masjid juga sudah berubah polisinya juga terhadap kanak kanak juga berubah..kata pengerusi biarlah kanak kanak ni nakal dan bising bising..asalkan hati mereka dekat dimasjid..kan nabi juga sangat menyayangi kanak2 dan tidak pernah memarahi mereka ketika di masjid?

Pada tahun ini juga pertama kali penulis mengimami solat taraweh di masjid kampung kelahiran sepanjang ramadhan..pengalaman yang membuatkan aku terus bersemangat untuk mengulang hafazan quran yang kian pudar akibat dari keculasan penulis sendiri dalam mengulang...

Pengalaman bertadarus bersama anak anak muda qariah seusai taraweh berjamaah sangat membimbangkan..pelbagai alasan yang diberikan apabila gagal membaca al quran dengan baik..'ala bang saya ni dah 2 tahun dah x bukak quran ni..sibuk la dengan sekolah dan kawan kawan"..jawab anak muda bersahaja..meskipun jawapan mereka bersahaja namun penulis melihat pada raut wajah mereka suatu keinginan untuk kembali mengenal ayat ayat Allah dan pastinya ia tempoh sebulan bersama mereka menjadi tanggungjawab penulis untuk sama sama membantu anak anak muda ini.

Dirumah aku melihat ummi bersungguh sungguh dalam menjayakan projek meniaganya sepanjang ramadhan..di kebanyakan petang ummi akan membuka gerai ditepi jalan menjual kek hasil buatannya sendiri..kata ummi menjual kek ini adalah fardhu kifayah..suatu alternatif buat orang islam dalam mencari juadah kek yang halal lagi bersih..telur confirm dibasuh, bahan bahan yang digunakan sure halal..so ia adalah suatu perjuangan buat ummi..yang penting hasil duit jualan adalah untuk membesarkan anak anak umi yang malas, degil sebagainya ni...lebih kurang macam tulah seloroh ummi yang sarat dengan pengertian..

to be continue...

ramadhan kareem..semangat yang pudar

Alhamdulillah masih lagi berkesempatan bertemu ramadhan buat sekian kalinya..namun ia masih ramadhan yang sama..berlapar dahaga di siang hari, kemeriahan berbuka bersama keluarga, bertarawih di malam hari dan bertadarus bersama anak qariah..lihatkan..ia adalah ramadhan yang sama seperti tahun tahun sebelumnya..apa yang baru buat penulis juga kamu?

Ramadhan kali ini aku anggap adalah satu misi pencarian...misi mencari sesuatu yang telah lama hilang dari potensi diriku..ramadhan kali ini aku belajar sesuatu tentang taqwa bukan tentang lapar dahaga..ramadhan mendidik hamba kembali taqwa..taqwa itu perlu WHEREEVER, WHERENEVER, WHOEVER, etc...kata ustaz syed dalam satu siri kuliyyah agamanya dalam AL kuliyyah..

ia bersesuaian sekali dengan firman Allah berkaitan pensyariatan puasa pada tahun ke 2 hijrah..

"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
(Surah al-Baqarah 2:183)

jika dilihat pada pensyariatan ibadah yang lain, ibadah puasa adalah suatu ibadah yang unik dan berbeza. Padanya tiada suatu rukun ibadah yang khusus seperti solat melainkan misi taqwa kita kepada Allah. Ia adalah ibadah yang melatih diri untuk terus bertaqwa kepada Allah dengan sebenar benar taqwa.

Sabda nabi " As Saum Al imsak" puasa itu menahan diri, menahan diri dari makan dan minum dan perkara perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.. Nah inilah latihan taqwa suatu yang tersirat disebalik pensyariatan puasa...

Menahan diri adalah suatu sifat dari kenabian..suatu sifat yang perlu bagi manusia yang beriman menghayati sepenuhnya ramadhan..menahan diri adalah sabar..menahan diri dari makan dan minum, menahan diri dari bercakap keji..menahan diri dari mengata memftnah..menahan diri dari melihat perkara maksiat..menahan diri dari sesuatu perkara yang dibenci Allah..maka ini adalah pengertian puasa dan ciri ciri TAQWA...melihat dari ciri ciri berikut adakah kita tergolong dari golongan manusia yang berpuasa?

ramai orang berpuasa lapar dan dahaga, bertaraweh bertadarus tetapi mereka sebenarnya melakukan perkara yang sia sia tidak mendapat apa apa kerana tidak menghayati konsep sebenar TAQWA...semoga Allah memberi hidayah kepada penulis juga anda dalam terus menghayati erti sebenar sebuah madarasah ramadhan..RAMADHAN YANG SAMA NATIJAH YANG BERBEZA...moga moga kita digolongkan sebagai orang yang bertaqwa..